Skip to content
Home » Notice and News » Green Icon Kolej Kediaman Sertai Bengkel Solar PV, Sokong Agenda Kampus Lestari

Green Icon Kolej Kediaman Sertai Bengkel Solar PV, Sokong Agenda Kampus Lestari

JOHOR BAHRU, 6 April 2026 – Seramai lima (5) orang pelajar daripada beberapa kolej kediaman Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai Bengkel Pemindahan Ilmu: Pengenalan Sistem Solar PV dan Aplikasi Pada Bot Nelayan yang berlangsung di P05, Fakulti Kejuruteraan Elektrik.

Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Key Amal Indicator (KAI) – Green Icon, yang bertujuan melahirkan pelajar sebagai agen perubahan dalam memimpin projek kelestarian, menggerakkan kempen hijau, serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti kampus.

Pelajar-pelajr daripada kolej kediaman yang terlibat adalah Muhammad Amir El-Hadi bin Marzuki dan Veehanisha Farhana daripada Kolej 9 dan 10, Nurmirza Nadhirah binti Mohd Nasir serta Muhammad Khairul Nazhim bin Fadhilludin daripada Kolej Rahman Putra, serta Mohamed Alamin Ahmed Yousif Ahmed daripada Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ/KLG).

Bengkel ini juga telah menghimpunkan seramai 101 peserta yang terdiri daripada pensyarah, pelajar institusi TVET serta pihak industri. Antara institusi yang terlibat termasuk ADTEC JTM, IKBN, Politeknik, Kolej Komuniti, serta wakil industri berkaitan tenaga dan maritim.

Program ini memberi pendedahan berkaitan teknologi tenaga boleh diperbaharui khususnya sistem solar fotovolta (PV) serta aplikasinya dalam sektor perikanan. Ia juga selari dengan usaha memperkukuh pemindahan ilmu antara universiti, institusi TVET dan industri dalam bidang teknologi hijau.

Melalui penyertaan ini, pelajar Green Icon berpeluang memperluas pengetahuan teknikal serta memahami aplikasi sebenar teknologi lestari dalam industri. Penglibatan ini juga menyokong aspirasi universiti ke arah pengurangan jejak karbon serta pembangunan kampus pintar dan mampan.

Diharapkan penyertaan pelajar dalam program sebegini dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak projek kelestarian di peringkat kolej, seterusnya memperkukuh peranan Green Icon sebagai peneraju inisiatif hijau dalam komuniti kampus.