JOHOR BAHRU, 23 September 2026 – Projek
inovasi bertajuk Sustainable Stingless Bee Technology-Assisted Community
Learning System berjaya meraih Gold Award dalam International Innovation and
Action Research Competition (i-IARC) 2026, yang berlangsung di Universiti
Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru.
Projek komuniti dibangunkan oleh Muhammad Adhar bin Zorobi dan diinovasikan oleh Dr. Mohd Amri Md Yunus dengan mengetengahkan pendekatan pembelajaran komuniti berbantu teknologi berasaskan kelestarian penternakan lebah kelulut.

i-IARC 2026 menghimpunkan sebanyak 161
penyertaan dari lima negara, iaitu China, India, Indonesia, Malaysia dan
Nigeria. Penyertaan antarabangsa ini menjadikan pertandingan berkenaan sebagai
platform perkongsian inovasi dan penyelidikan tindakan yang menghimpunkan
pelbagai idea, pendekatan serta penyelesaian dalam bidang pendidikan dan
pembangunan komuniti.
Melalui inovasi yang dibangunkan, elemen teknologi digabungkan dengan pembelajaran berasaskan komuniti bagi menyokong pemindahan pengetahuan dan amalan berkaitan kelestarian lebah kelulut secara lebih sistematik. Pendekatan ini turut memperlihatkan potensi teknologi dalam memperkukuh proses pembelajaran serta pengupayaan komuniti.


Kejayaan meraih Gold Award memberi
pengiktirafan terhadap usaha menghasilkan inovasi yang bukan sahaja mempunyai
nilai akademik, malah berpotensi diaplikasikan dalam konteks komuniti sebenar.
i-IARC 2026 dianjurkan oleh Educational Development and Training Unit (ELEVET), Faculty of Educational Sciences and Technology (FEST), UTM dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Negeri Johor (MGKKJ).
Pengiktirafan ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha memperluas aplikasi Sustainable Stingless Bee Technology-Assisted Community Learning System, khususnya dalam memperkukuh hubungan antara teknologi, pendidikan, kelestarian dan pembangunan komuniti.

