Skip to content
Home » Notice and News » LATIHAN TEKNOLOGI LADANG: SISTEM EMAS BAGI PROGRAM PEMBANGUNAN EKONOMI ASNAF (PROPER A) 2024 – MAIPk

LATIHAN TEKNOLOGI LADANG: SISTEM EMAS BAGI PROGRAM PEMBANGUNAN EKONOMI ASNAF (PROPER A) 2024 – MAIPk

Pada 14 September 2024, satu sesi taklimat dan latihan penggunaan sistem pengurusan maklumat haif kelulut yang dikenali sebagai EMAS (Electronic Meliponini Advanced System) telah berjaya dilaksanakan di Dewan FELDA GPW Lawin Selatan, Gerik, Perak. Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Program Pembangunan Ekonomi Asnaf (PROPER A) 2024 anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang memberi tumpuan kepada peningkatan keupayaan ekonomi golongan asnaf melalui aktiviti penternakan lebah kelulut.

MyIqra Solutions telah bertindak sebagai penyelaras program, manakala sesi pengenalan dan demonstrasi teknologi EMAS telah disampaikan oleh Dr. Mohd Amri Md Yunus dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang juga merupakan pembangun sistem ini. Seramai 15 peserta daripada kawasan Lenggong, Gerik dan Pengkalan Hulu yang merupakan penerima bantuan MAIPk telah terlibat secara langsung dalam sesi ini.

Latihan yang diberikan merangkumi penerangan teori serta latihan amali berkaitan penggunaan sistem EMAS yang direka khusus untuk memudahkan proses pendaftaran haif kelulut, penyimpanan data tuaian, dan pemantauan prestasi penternakan secara digital. Para peserta diajar bagaimana untuk mendaftar akaun, memasukkan maklumat haif lengkap dengan nombor tag RFID, serta merekod dan memantau hasil tuaian menggunakan antaramuka sistem yang mudah diakses menerusi laman web rasmi www.emas.mytradebee.com.

Sistem EMAS ini diperkenalkan sebagai satu pendekatan pemodenan dalam penternakan kelulut yang dapat menyokong prinsip kelestarian serta kebolehkesanan data pengeluaran, selain memudahkan penjejakkan dan pemantauan dari semasa ke semasa oleh pihak pengurus projek dan pembekal. Pelaksanaan sistem ini juga diharapkan dapat menjadi medium standard dalam urus tadbir perusahaan kelulut khususnya dalam kalangan usahawan mikro dan penternak komuniti.

Secara keseluruhan, inisiatif ini menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) seperti SDG 1: Membasmi Kemiskinan, SDG 8: Menjana Pekerjaan dan Pertumbuhan Ekonomi Inklusif, serta SDG 12: Pengeluaran dan Penggunaan Secara Bertanggungjawab. Dari sudut ESG (Environmental, Social, Governance), pelaksanaan sistem ini memperkukuh pemeliharaan biodiversiti, mempertingkatkan ketelusan tadbir urus komuniti, dan mengangkat potensi ekonomi sosial secara mampan.

Dengan pelaksanaan taklimat ini, adalah diharapkan agar para peserta yang terlibat dapat menerapkan penggunaan teknologi EMAS secara menyeluruh dalam aktiviti penternakan masing-masing, seterusnya memperkukuh kedudukan perusahaan kelulut sebagai salah satu sumber ekonomi lestari di negeri Perak