Home » Notice and News » SESI PERBINCANGAN TAKWIM JKP SESI 2025/2026 BERSAMA PENGETUA
Assalamualaikum w.b.t.
Satu sesi perbincangan berkenaan Takwim Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Sesi 2025/2026 telah diadakan secara dalam talian bersama Pengetua Kolej Dato’ Onn Jaafar (KDOJ) pada Rabu, 10 Disember 2025, bermula jam 8.30 malam. Sesi ini telah dihadiri oleh ahli-ahli JKP yang dijemput bagi membincangkan perancangan awal program kolej untuk sesi baharu.
Perbincangan utama tertumpu kepada pembentangan draf takwim aktiviti JKP, penyusunan strategi pelaksanaan program, serta perancangan dan permohonan bajet bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan secara tersusun, berimpak tinggi dan selari dengan hala tuju kolej serta universiti.
Berdasarkan dokumen Takwim Aktiviti JKP Sesi 2025/2026, sebanyak 23 program telah dicadangkan merangkumi pelbagai kluster seperti pembangunan sahsiah dan kepimpinan pelajar, kerohanian dan sosial, sukan dan kebudayaan, keselamatan dan kelestarian, keusahawanan, kesihatan mental, serta jaringan komuniti dan antarabangsa. Program-program ini turut mengambil kira elemen GUCIA/ISES (Kerajaan, Universiti, Komuniti, Industri dan Alumni) sebagai nilai tambah kepada impak pelaksanaan.
Secara keseluruhan, sesi perbincangan ini berjalan dengan lancar dan konstruktif. Diharapkan agar semua program yang telah dirancang dapat diperhalusi dari segi pelaksanaan dan bajet, seterusnya direalisasikan dengan jayanya demi manfaat warga kolej dan universiti.