3 December 2025 | Mersing, Johor
Perjalanan dimulakan awal pagi jam 8.00 pagi daripada UTM kerana lawatan kerja ke Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh, yang disandang oleh YB Tuan Raven Kumar a/l Krishnasamy, selaku Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor. Walaupun YB tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana urusan rasmi, kami berkesempatan bertemu dan berurusan dengan Pembantu Khas Beliau, Puan Julia, bagi tujuan serahan cek sumbangan. Dalam sesi ringkas tetapi bermakna itu, pihak pejabat ADUN menyampaikan sumbangan rasmi Program Kelestarian Ekosistem Kelulut & Alam Lestari (KEKAL) untuk dilaksanakan bersama komuniti Felda Tenggaroh 7. Kami merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan terhadap program yang memfokuskan pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan komuniti ini.
Selesai urusan di Pusat Khidmat, kami meneruskan perjalanan ke Pejabat Felda Tenggaroh 7 bagi sesi perbincangan bersama komuniti setempat. Kehadiran kami disambut oleh YBrs. Umarrazki bin Mochlis, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Rancangan Felda Tenggaroh 7, bersama Puan Nadia, Pengerusi GPW Felda Tenggaroh 7, serta Tuan Raffi selaku wakil komuniti. Perbincangan berlangsung dalam suasana harmoni dan bertujuan menyelaras pelaksanaan Program KEKAL agar manfaatnya dapat dirasakan oleh semua lapisan masyarakat Felda Tenggaroh 7. Antara fokus utama yang disentuh termasuklah pengukuhan ekosistem kelulut, pembangunan modul pendidikan komuniti, serta pembentukan rangka kerja aktiviti berimpak tinggi untuk tahun 2026.
Dalam sesi pemantauan di lapangan, kami turut meninjau semula sarang kelulut yang telah ditempatkan di kawasan Felda. Pemerhatian mendapati koloni berada dalam keadaan aktif, dengan kelulut-kelulut berkembang baik serta pot madu yang menunjukkan tanda-tanda matang untuk penuaian pada masa akan datang. Keadaan ini memberi petunjuk positif terhadap potensi pembangunan projek kelulut sebagai salah satu elemen kelestarian ekonomi dan alam sekitar untuk komuniti setempat. Pemantauan ini juga menjadi asas kepada penyediaan modul latihan teknikal seterusnya yang bakal dilaksanakan bersama belia dan penduduk kampung.
Lawatan kerja ini diakhiri dengan sesi ramah mesra bersama sebahagian penduduk Felda Tenggaroh 7 sambil menikmati hidangan tengah hari. Suasana santai tersebut membuka ruang perbualan yang lebih mesra dan memberi peluang memahami secara lebih dekat keperluan serta aspirasi komuniti terhadap program KEKAL. Hubungan baik yang terjalin sepanjang kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh lagi kerjasama antara UTM, Felda dan Pusat Khidmat ADUN Tenggaroh
Secara keseluruhan, lawatan ini bukan sahaja memperincikan persediaan pelaksanaan program, tetapi turut mengukuhkan jaringan kerjasama strategik yang bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti Felda Tenggaroh 7. Semoga perbincangan dan pertemuan pada hari tersebut menjadi titik tolak kepada lebih banyak aktiviti bermanfaat dan inisiatif kelestarian yang memberi impak berpanjangan kepada masyarakat.
Maklumat lanjut berkenaan proram KEKAL program, sila kilk gambar di bawah